Negara kita beralih Fasa Peralihan ke Endemik selepas lebih dua tahun berdepan dengan cabaran pandemik (wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas, sama ada hingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia).
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin idris Shah Alhaj berkenan solat berjemaah di masjid dan surau negeri ini dilaksanakan dengan merapatkan saf mulai hari ini. Ketetapan itu dibuat setelah Baginda mengadakan rundingan bersama beberapa agensi Kerajaan Negeri serta beberapa Ahli Dewan di-Raja Selangor.
Pesanan kesihatan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara ketika menghadiri aktiviti di masjid dan surau ialah pastikan anda tidak bergejala. Membawa sejadah masing-masing. Mendaftar kehadiran menggunakan aplikasi MySejahtera. Wajib memakai pelitup muka dengan betul sepanjang masa semasa melakukan aktiviti. Elakkan bersalaman, berpelukan atau sebarang sentuhan fizikal. Memadai tunduk memberi hormat. Pastikan pengudaraan yang baik di dalam masjid dan surau.
Umat Islam yang hadir menunaikan solat Jumaat pada hari pertama saf solat dibenar dirapatkan, kekal mematuhi prosedur operasi standard bagi mengekang penularan wabak Covid-19.