Sejak hari Isnin, 11 Mei 2020, saya memakai cermin mata (SK vision) dengan satu jenis kanta sahaja untuk rabun dekat. Mulai hari ini (Sabtu, 18 Jun 2022), saya memakai cermin mata multifokal.
Apa itu kanta multifokal? Kanta multifokal ialah kanta yang direka khas untuk orang yang berumur 40 tahun ke atas. Saya berumur 47 tahun pada 2022. Ini kerana orang yang berumur 40 tahun ke atas akan mengalami 'presbyopia' iaitu penurunan kemampuan lensa mata untuk berfokus melihat sesuatu objek pada jarak pandang yang dekat. Orang yang berumur 40 tahun ke atas sangat digalakkan untuk memakai kanta jenis ini.
Kanta multifokal mempunyai tiga jarak dalam satu cermin mata iaitu jarak jauh, jarak pertengahan dan jarak dekat. Kanta multifokal juga mempunyai kawasan kabur di kiri dan kanan cermin mata.
Cara pemakaian kanta multifokal yang betul ialah pakai cermin mata kita dalam keadaan yang selesa iaitu pastikan tidak terlampau labuh dan tidak terlampau ke atas. Pastikan kedudukan kepala kita berada dalam keadaan tegak dan ke hadapan.
Dengan menggunakan otot mata, gerakkan anak mata kita ke atas untuk melihat kawasan jauh. Gerakkan anak mata ke kawasan pertengahan untuk melihat kawasan pertengahan. Gerakkan anak mata ke kawasan bawah untuk melihat kawasan membaca.
Selesakan pergerakan anak mata untuk menggunakan ketiga-tiga pembahagian pada cermin mata. Pastikan semasa memandu kenderaan, kita perlu menggerakkan kepala dan jangan menjeling kerana dengan jelingan, kita akan melihat kawasan kabur. Tolehkan kepala untuk melihat cermin sisi pada kenderaan.