Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) atau "Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show" Peringkat Antarabangsa 2022 sedang diadakan di MAEPS, Selangor pada 4 Ogos 2022 hingga 14 Ogos 2022 iaitu selama 11 hari. Ia bermula dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam. Sekuriti Makanan Untuk Masa Depan Kita (Food Security for the Future). Hari ini ialah hari ketiga pameran.
MAHA 2020 ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19 (coronavirus disease 2019). Kali terakhir diadakan pameran antarabangsa ini ialah ketika MAHA 2018.
Proton Exora yang saya pandu bergerak meninggalkan rumah TJ pada jam 8:25 pagi. Masuk ke Lebuhraya Kajang SILK (E18) di Kilometer 20.1 dan membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Bukit Kajang menuju ke MAEPS. Saya terus memandu di E18 dan melalui Plaza Tol Sungai Ramal (B) RM1.80 ke destinasi. Simpang di Kilometer 20.1 tersebut cuma boleh masuk ke E18 sahaja tetapi tidak boleh keluar dari E18. Jika ingin keluar dari E18 ke kawasan TJ bagi kenderaan yang datang dari arah Putrajaya atau MAEPS selepas laluan Plaza Tol Sungai Ramal (T) RM1.80, boleh dibuat dua pilihan. Sama ada keluar dari E18 melalui Jalan Bukit yang terdapat stesen kereta api di bandar Kajang atau terus ke Plaza Tol Bukit Kajang (RM1.80).
Kenderaan yang saya pandu melalui sedikit kesesakan lalu lintas sebelum sampai ke pintu gerbang MAEPS pada jam 9:00 pagi. Saya datang awal sebelum jam 10:00 pagi kerana tidak mahu menempuh kesesakan lalu lintas yang lebih teruk. Dari rumah TJ ke pintu gerbang MAEPS ialah sejauh 16.3 kilometer. Selepas 700 meter, saya meletakkan kenderaan di tempat parkir (percuma). Ini bermakna dari rumah TJ ke tempat parkir ialah sejauh 17 kilometer sahaja.
Saya berjalan kaki dari tempat parkir dan terus ke Dewan Pameran Utama. Masuk ke Dewan A, Dewan B, Dewan C dan Dewan D (tempat Majlis Perasmian MAHA 2022 pada hari ini oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia). Di bawah Dewan D, pergi ke Empayar Makanan (Dewan DG, Ground Floor). Dari Dewan D, saya pergi ke Dewan Agrobisnes dan mula membeli barang-barang. Saya pergi pula ke Castle of Fruit (FAMA). Di Dataran MAEPS, naik trem (bas rapidKL) ke Laman Tiba 2 dan melalui pelbagai jenis laman ketika dalam perjalanan. Turun bas di Dataran MAEPS.
Saya kembali ke Dewan A dan turun semula ke Dataran MAEPS serta berjalan kaki mendapatkan kenderaan di tempat parkir. Jam 1:03 petang, saya pandu kenderaan dan bergerak meninggalkan kawasan parkir untuk pulang ke rumah TJ (bukan rumah SI dan bukan juga rumah TTD).