
Apabila disebut zaman purba, mereka akan membayangkan orang yang tinggal di dalam gua. Padahal Nabi Adam a.s. sudah pandai berkata-kata, berpakaian dan bertindak seperti manusia yang waras sama seperti manusia yang wujud pada hari ini. Malah manusia pertama sudah pandai membina bangunan. Adakah mereka tinggal di dalam gua seperti binatang?
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan Dia mengajarkan kepada Adam nama-nama (benda-benda) keseluruhannya, kemudian mengemukakannya kepada para malaikat lalu berfirman: “Sebutkanlah kepada-Ku nama benda-benda itu jika kamu memang orang-orang yang benar”. Mereka menjawab: “Maha Suci Engkau, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”. Allah berfirman: “Wahai Adam, beritahulah kepada mereka nama-nama benda ini”. Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, Allah berfirman: “Bukankah sudah Aku katakan kepada kamu semua, bahawa sesungguhnya Aku mengetahui rahsia langit dan bumi serta apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan”. (Surah al-Baqarah: Ayat 31, 32 dan 33).
Ini menunjukkan bahawa Nabi Adam a.s. telah diturunkan oleh Allah S.W.T. dengan keadaan yang berilmu pengetahuan. Zaman batu tidak pernah wujud. Siapakah dalang di sebalik pembohongan sejarah ini? Dalangnya ialah Charles Darwin dan para pendukung teori evolusi.
Menurut al-Qur’an, hanya nama-nama para nabi dijadikan ukuran masa dalam sejarah. Bermula dengan manusia yang pertama iaitu Nabi Adam a.s. sehinggalah kepada utusan yang terakhir pada akhir zaman ini iaitu Nabi Muhammad s.a.w. kerana para nabi adalah wakil kaum mereka pada tempat, waktu dan ketamadunan tertentu. Inilah cara sebenar untuk mengkaji sejarah. Kajilah berdasarkan nabi-nabi yang telah diutuskan. Kita akan faham dengan perkembangan ketamadunan kaum tersebut.
Kita menyangka mereka berada di zaman batu yang tidak pernah mencipta apa-apa kerana ketamadunan mereka yang begitu canggih boleh hancur sekelip mata. Kehebatan tamadun mereka telah dihancurkan oleh Allah S.W.T. dalam masa satu malam sahaja kerana kekufuran sebahagian daripada mereka.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya telah berlalu sebelum kamu hukuman-hukuman Allah, maka kerana itu berjalanlah di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (para nabi). (Surah Ali Imran: Ayat 137).