Anak sulung saya yang berumur enam tahun telah menduduki peperiksaan akhir tahun pada 19, 20 dan 21 Oktober 2011 yang lalu. Ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan tersebut. Juga dapat membuat perbandingan dengan prestasi berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun yang telah diadakan pada bulan Mei lepas. Anak sulung saya kurang sihat (demam) ketika menduduki peperiksaan akhir tahun kali ini. Anak kedua saya yang berumur empat tahun belum didedahkan dengan peperiksaan.
Anak sulung saya mula ditempatkan di tadika ini pada bulan Januari 2010 iaitu sejak dia berumur lima tahun. Anak kedua saya pula mula ditempatkan di sini pada bulan Januari 2011 ini. Manakala anak ketiga saya yang lahir pada tahun 2010 ditempatkan di Taska Kasih Kita yang tidak berapa jauh dari Tadika Permata Harapan.
Dengan adanya hari perjumpaan bersama ibu bapa dan guru (Report Day) kali kedua pada pagi ini, ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan. Di samping itu juga, ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai tahap kemajuan pembelajaran dan pencapaian serta perkembangan semasa anak-anak. Selain itu, ibu bapa boleh menyuarakan perkongsian idea, pendapat atau komen mengenai keseluruhan perjalanan tadika.