Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah tiba di Kelab Golf Danau, UKM Bangi kira-kira jam 2:15 petang. Majlis dimulakan tidak lama kemudian dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis. Doa’ pembukaan dan ayat-ayat suci al-Qur’an dibacakan.
Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor. Diteruskan dengan ucapan Cik Nor Azliza binti Rajiain, Pengetua Tadika Permata Harapan Impian Murni dan ucapan serta perasmian oleh Encik Noor Azib bin Asmangi, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Daerah Hulu Langat.
Ia diteruskan dengan persembahan daripada kelas Salman al-Farisi (pelajar-pelajar empat tahun), kelas Solahuddin al-Ayyubi (pelajar-pelajar enam tahun) dan kelas Suhail ar-Rumi (pelajar-pelajar lima tahun).
Ketika pelajar-pelajar sedang membuat persembahan, saya pergi sekejap ke Hotel Equatorial Bangi menghadiri Jamuan Hi-Tea dan Hari Q sekolah tempat saya mengajar sekarang. Saya kembali ke Dewan Pujangga, Kelab Golf Danau, UKM Bangi dan sempat menyaksikan persembahan nasyid. Penyampaian cenderahati, hadiah dan sebagainya telah disempurnakan oleh Cik Nor Azliza binti Rajiain serta Encik Noor Azib bin Asmangi semasa saya meninggalkan majlis tadi.
Majlis petang ini diakhiri dengan persembahan penutup oleh semua pelajar Tadika Permata Harapan yang hadir. Kira-kira jam 5:00 petang, majlis pun tamat. Tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan Tadika Permata Harapan kerana telah dapat mengadakan “Ihtifal” kali yang kedua ini dengan jayanya.
Motto Tadika Permata Harapan ialah ‘Membina Generasi Pintar Soleh’.