Hari kedua (21 Disember 2011), kami bersarapan di Bunga Padi Coffee House, Suria Cherating Beach Resort. Kembali ke bilik. Hujan sepanjang pagi dan kami cuma berada di kawasan resort ini. Selepas itu, berkemas-kemas. Tengah hari, kami daftar keluar dari sini. Berpandukan GPS, saya memandu menuju ke Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Kemaman, Terengganu. Suami kepada adik saya merupakan tenaga pengajar di sini. Mereka tinggal di rumah yang disediakan dalam kawasan KKTM Kemaman. Kami bermalam di rumah mereka.
Hari ketiga (22 Disember 2011), kami meninggalkan KKTM pagi tadi. Saya memandu kereta membawa isteri dan tiga orang anak kami dari Kemaman, Terengganu ke rumah emak saudara saya di Kuantan, Pahang. Dia ialah adik kepada arwah abah saya. Tengah hari tadi juga, kami bertolak pulang. Masuk ke LPT melalui Tol Kuantan. Saya terus memandu sehingga kami berhenti untuk solat, membeli makanan dan minuman di Kawasan Rehat Temerloh. Tidak semua daripada kami turun dari kenderaan sebab hari hujan. Sepanjang perjalanan di LPT, hujan terus turun. Kami tetap meneruskan perjalanan dan keluar dari LPT melalui Tol Karak. Akhirnya petang tadi kami sampai ke rumah di Kajang dengan selamat selepas melalui beberapa lebuh raya lagi. Begitulah berakhirnya percutian kali ini.