Ahad, 23 Disember 2012

Demi Palestin, TV al-Hijrah

Kuala Lumpur, 23/12/2012 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah sampai ke perkarangan Pusat Penyiaran Digital TV al-Hijrah pada jam 11:35 pagi tadi. TV al-Hijrah mengadakan program Demi Palestin. Tema program kali ini ialah ‘Persaudaraan Bermula Di Sini’.

Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga pergi ke stesen TV al-Hijrah yang terletak di Kompleks Pusat Islam, Jalan Perdana, Kuala Lumpur. Saya memandu kenderaan dan jarak perjalanan pergi dari rumah di Kajang ke sini ialah 25 kilometer sahaja. Saya pernah beberapa kali pergi ke kompleks ini ketika stesen TV al-Hijrah belum wujud lagi. Kami sekeluarga sempat juga singgah ke Masjid Negara yang cuma terletak di seberang jalan sebelum kembali semula ke program Demi Palestin.

TV al-Hijrah bertemakan ‘Segalanya Bermula Di sini’. Rumah kami sekarang menggunakan UniFi daripada Telekom Malaysia Berhad untuk melayari internet. TV al-Hijrah boleh ditonton melalui saluran 114 di HyppTV.

Sempena program Demi Palestin kali ini, kami sempat singgah ke khemah-khemah, gerai-gerai dan pentas utama yang disediakan. Antara atur cara program yang kami hadiri ialah slot bersama personaliti TV al-Hijrah, pameran, jualan amal, persembahan nasyid, cap jari di pokok simbolik, sumbangan untuk Palestin dan sembang bersama sukarelawan-sukarelawan yang pernah pergi ke Gaza di Palestin.

Jam 3:10 petang, kami pun beredar meninggalkan perkarangan Pusat Penyiaran Digital TV al-Hijrah menuju ke kenderaan yang diletakkan di tepi jalan. Setelah mendapatkan kenderaan, kami pun bergerak pulang ke rumah.

Ketika belajar di University of Jordan pada tahun 1993 hingga tahun 1998, saya dan beberapa orang rakan pernah menziarahi Palestin yang terletak di barat Jordan. Pergi ke Palestin dari Jordan dengan menaiki bas.

Isnin, 17 Disember 2012

Zakat Emas 3 Safar 1434

Kajang, 17/12/2012 – Saya telah membuat pembayaran Zakat Emas secara tunai di kaunter Lembaga Zakat Selangor (Majlis Agama Islam Selangor), No 13, Jalan Raja Haroun, Kajang. Saya masuk ke bangunan lembaga zakat tersebut pada jam 3:15 petang dan keluar dari situ pada jam 3:25 petang.

Emas yang disimpan dalam apa-apa bentuk sekali pun adalah wajib dizakatkan apabila ia melebihi berat asas nisab iaitu 85 gram. Bagi mendapatkan nilai zakat, ambil semua emas yang disimpan dan timbang. Kemudian darabkan dengan harga emas semasa dan darabkan dengan 2.5 peratus.

Harga emas semasa bagi semua jenis emas pada hari ini ialah RM161.12 per gram. Jika anda menyimpan syiling emas dan jongkong emas sebanyak 129.25 gram selama setahun, nilai zakat yang anda wajib bayar pada hari ini ialah kira-kira RM520.60 sahaja. Timbangan emas x harga semasa x 2.5% (129.25 gram x RM161.12 = [20,824.76] x 2.5% = RM520.619).

3 Safar 1433 (28 Disember 2011) hingga 3 Safar 1434 (17 Disember 2012), saya hanya menyimpan dan tidak membuat sebarang urusniaga jual beli emas. Ini bermakna telah cukup haul setahun saya membuat simpanan emas. Tiba masanya ia diwajibkan zakat.

Umat Islam yang hendak melibatkan diri dalam pelaburan emas mesti terlebih dahulu mengetahui urusniaga jual beli emas yang patuh syariah. Pilih perbankan Islam yang ada menawarkan akaun pelaburan emas atau syarikat yang mematuhi kehendak syariah dalam pelaburannya.

Ahad, 9 Disember 2012

Restoran al-Abraj, Taman Sepakat Indah 2

Kajang, 09/12/2012 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah sampai ke Taman Sepakat Indah 2 pada jam 2:15 petang. Di situ terdapat beberapa buah restoran makanan Arab dan pasar mini Arab. Kami pergi ke salah sebuah restoran iaitu Restoran al-Abraj. Menu yang dipesan ialah nasi Arab (Zurbian Lamb), shawarma ayam dan manisan (Baqlawah). Air minuman pula ialah buah-buahan campuran (Cocktail) dan mangga dengan susu. Ketika sedang menjamu selera, hujan turun dengan lebatnya. Selepas beredar dari restoran, kami singgah ke Pasar Mini at-Taghziah yang terletak bersebelahan. Di pasar mini tersebut ada pelbagai barang dari negara-negara Arab. Saya sempat membeli beberapa jenis barang.

Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan ke restoran yang bersesuaian.

Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Arab di sekitar Lembah Klang, Cyberjaya, Negeri Sembilan dan Kajang.

Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga singgah makan di Restoran al-Abraj. Saya mendapat maklumat berkenaan restoran ini melalui seorang rakan dari Syria yang baru dikenali kira-kira seminggu lepas. Namanya ialah Ghiyats. Dia telah memperkenalkan kepada saya pemilik restoran tersebut iaitu Dr Aiman dari Mesir dan isterinya Pn Shida dari Malaysia.

Restoran ini dibuka setiap hari iaitu pada hari Sabtu hingga Khamis dari jam 12:00 tengah hari hingga 2:00 pagi. Manakala pada hari Jumaat dari jam 2:30 petang hingga 2:00 pagi.

Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran al-Abraj di Kajang, alamatnya ialah:
No 9 & 10,
Jalan Sepakat Indah 2/1,
Taman Sepakat Indah 2,
43000 Kajang,
Selangor.

Saya memandu kenderaan dalam keadaan hari masih hujan. Kami beredar meninggalkan Taman Sepakat Indah 2 pada jam 3:45 petang. Jarak perjalanan pulang dari situ ke rumah kami ialah kira-kira 7.5 kilometer sahaja.

Sabtu, 1 Disember 2012

MAHA Antarabangsa 2012

Serdang, 01/12/2012 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami telah sampai ke Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau “Malaysia Agro Exposition Park Serdang” petang tadi. Kenderaan yang saya pandu melalui pintu gerbang MAEPS kira-kira jam 4:00 petang setelah menempuh kesesakan lalu lintas. Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) atau “Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show” Peringkat Antarabangsa 2012 sedang diadakan di MAEPS, Selangor pada 23 November 2012 hingga 2 Disember 2012. Ia bermula dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam.

Ini merupakan pameran pertanian kali ketujuh yang terbesar di Asia Tenggara. Ia menyediakan kira-kira 2,200 tapak pameran seperti pameran ternakan, agrobazaar dan pelbagai lagi pameran yang disertai oleh agensi kerajaan serta swasta. Negara-negara luar turut menyertai MAHA Antarabangsa 2012 ini.

Walaupun cuaca kadang-kadang hujan dan kadang-kadang tidak, kami tetap meneruskan kunjungan ke dewan-dewan pameran dan gerai-gerai jualan yang ada di MAHA ini. Kemudahan surau ada disediakan di Dewan D. Kami sempat solat Asar sebelum meneruskan kunjungan ke pameran yang terdapat di sini. Sekali lagi kami singgah ke surau yang sama dan menunaikan solat Maghrib pula.

Oleh kerana sudah rasa penat berjalan jauh, kami pun bergerak menuju ke tempat letak kenderaan. Singgah ke sebuah gerai kerana anak-anak ingin makan nasi. Ketika mereka makan di situ, kami sempat melihat perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012 peringkat kumpulan B antara Malaysia dan Indonesia di TV. Pasukan Malaysia menjaringkan dua gol ketika kami berada di situ. Kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama iaitu pada minit ke-27 dan minit ke-30.

Kami pun beredar dengan kenderaan melalui jalan di hadapan Hospital Serdang untuk pulang ke rumah di Kajang. Tiba di rumah, saya terus menonton perlawanan bola sepak yang masih berlangsung. Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan. Malaysia menewaskan Indonesia dan layak ke peringkat separuh akhir menentang Thailand.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.