Beliau merintis laluan ke syurga melalui jihad yang tidak mengenal sempadan geografi. Beliaulah ikon kebanggaan yang namanya sentiasa bergetar dan semangatnya sentiasa bergelora dalam jiwa para mujahidin Palestin yang cintakan syahid.
Muhammad Izzuddin bin Abdul Qadir Mustafa al-Qassam dilahirkan pada tahun 1882 di Jablah, Syria. Beliau membesar dalam lingkungan keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama.
Izzuddin mendapat pendidikan awal di madrasah tempatan di mana beliau belajar bahasa Arab, al-Qur’an dan hadis. Menginjak usia 15 tahun, beliau dihantar ke Universiti al-Azhar untuk mempelajari undang-undang Islam. Di bumi Kinanah itu, beliau berkesempatan belajar daripada Syeikh Muhammad Abduh dan bersahabat dengan Muhammad Rashid Ridha. Syeikh Muhammad Abduh adalah mujahid terkemuka kurun ke-19 yang telah meniupkan semangat baru khususnya di Mesir dan Timur Tengah. Manakala Muhammad Rashid Ridha pula adalah seorang pemikir dan reformis yang mempelopori gerakan pembaharuan dan perjuangan di dunia Islam.
SUMBER: Anis. Januari 2013.