
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesiapa yang menutup aib saudara Muslimnya, maka Allah akan menutup aibnya di akhirat. (Riwayat at-Tirmizi).
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu pula adalah pakaian bagi mereka. (Surah al-Baqarah: Ayat 187).
Dalam ayat ini, Allah S.W.T. menggambarkan bahawa isteri adalah ‘pakaian’ bagi suami dan suami adalah ‘pakaian’ bagi isteri supaya masing-masing menjaga kehormatan diri mereka.
Maksudnya, jika isteri atau suami membuka aib pasangannya, maka sudah tentu dia membuka aibnya sendiri. Oleh sebab itu, kita perlu bertindak mengikut rasional, bukannya mengikut emosi.
Pasangan suami isteri perlu berpada-pada berkongsi foto-foto perkahwinan mereka di laman sosial. Perunding motivasi dan penceramah bebas, Puan Noor Laila Aniza Zakaria berkata, walaupun hubungan mereka halal tetapi foto-foto yang boleh mengghairahkan orang lain juga boleh mengundang dosa kerana orang yang melihat foto tersebut akan terdorong untuk melakukan aksi yang sama walaupun masih belum berkahwin.
Walaupun niat mereka sekadar untuk berkongsi kegembiraan, tetapi niat mereka tidak menghalalkan cara.
SUMBER: Anis. Mac 2013.