Huda merupakan anak saudara kepada isteri saya. Emak Huda ialah kakak kepada isteri saya. Sebenarnya kami sekeluarga telah berada di Wanija Villa sejak semalam lagi. Huda dan Areef telah diijabkabulkan petang semalam.
Oleh kerana lokasi Wanija Villa berhampiran dengan Stadium Paroi, saya dan beberapa orang saudara mara sempat melihat perlawanan bola sepak antara Negeri Sembilan dan Felda United pada malam semalam dari atas bukit. Kami tidak masuk ke dalam stadium tetapi menjenguk dari luar sahaja kerana Wanija Villa dan Masjid Kariah Paroi Jaya kedudukannya terletak lebih tinggi daripada stadium tersebut.
Bersebelahan dengan Stadium Paroi terdapat pula Kompleks Sukan Negeri, Paroi. Kami sempat masuk ke dalam kompleks tersebut menyaksikan perlawanan sepak takraw Piala Menteri Besar Negeri Sembilan. Setelah perlawanan tamat, kami berjalan kaki pulang ke Wanija Villa dan bermalam di situ.
Hari ini telah diadakan majlis kenduri kahwin di perkarangan Wanija Villa sempena pernikahan Huda dan Areef. Tiba masanya saya, isteri dan tiga orang anak kami untuk pulang ke rumah di Kajang. Saya memandu kenderaan. Perjalanan pergi petang semalam ke Seremban dan pulang ke Kajang hari ini melalui LEKAS iaitu Lebuhraya Kajang Seremban (E21).