
Tujuan-tujuan PIBG. 1-Untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah dalam meningkatkan imej sekolah. 2-Untuk membantu dan menambah usaha sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid dalam kegiatan mereka. 3-Untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam sekolah itu bertukar-tukar fikiran dan maklumat pendidikan. 4-Untuk memberi peluang ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding satu sama lain berkenaan dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya. 5-Untuk membolehkan ibu bapa dan guru berusaha menambah kewangan sekolah dan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran.
Batasan-batasan PIBG. 1-Kegiatan PIBG hendaklah diarahkan kepada kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam sekolah di mana persatuan itu ditubuhkan. 2-PIBG boleh dengan kebenaran Pengetua atau Guru Besar menganjurkan kegiatan kurikulum dan kokurikulum di dalam atau di luar sekolah dengan menggunakan tenaga mahir atau pakar daripada kalangan anggota atau bukan anggota PIBG bagi meningkatkan pencapaian atau perkembangan murid secara menyeluruh. 3-PIBG dibenarkan mengutip apa-apa sumbangan yang diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar. 4-PIBG tidak boleh memperluaskan bidang kuasa persatuan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru serta kakitangan yang lain dalam sekolah. 5-PIBG tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang berkaitan antara PIBG dengan Pengetua atau Guru Basar atau kakitangan sekolah di mana PIBG itu ditubuhkan atau Pejabat Pelajaran Daerah atau Jabatan Pelajaran Negeri atau Kementerian Pelajaran atau Kerajaan Negeri dan Persekutuan.