Di rumah, kami telah bertakbir hari raya, menunaikan solat sunat Aidilfitri dan saya menyampaikan khutbah hari raya. Pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) meminta orang ramai mematuhi Prosedur Operasi Standard atau SOP (Standard Operating Procedures) semasa PKP 3.0 yang sedang berkuat kuasa. MKN ialah agensi yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia.
Kami menggunakan pelbagai jenis aplikasi yang ada internet untuk menghubungi ahli keluarga di sebelah saya dan di sebelah isteri. Ini kerana pergerakan merentas daerah dan negeri tidak dibenarkan ketika PKP 3.0 dan boleh diambil tindakan undang-undang. Kami yang berada di daerah Hulu Langat cuma boleh bergerak di sekitar Zon Kajang, Semenyih, Bangi, Cheras dan Ampang tetapi bukan untuk tujuan ziarah hari raya.
Sambutan hari perayaan hanya untuk ahli keluarga di dalam rumah yang sama. Kami bertujuh sahaja yang ada di dalam rumah ini. Semasa membeli barang-barang keperluan di kedai, elakkan 3S (Sesak, Sempit dan Sembang dekat). Amalan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter. Semasa PKP 3.0, jangan ziarah rumah ke rumah dan ziarah kubur ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Takbir hari raya hanya untuk keluarga yang serumah. Sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan utamakan kebersihan diri serta peralatan. Pastikan sajian sentiasa ditutup dan bersih. Jangan keluar rumah jika tiada keperluan mendesak. Utamakan keselamatan dan kesihatan diri serta keluarga dengan sentiasa berdisiplin mematuhi larangan-larangan dan arahan-arahan terkini yang ditetapkan oleh pihak MKN.