Saya memandu kenderaan membawa isteri dan tiga orang anak
kami pergi ke pekan Kuala Lipis. Hari ini ada Pekan Sehari di sini. Kami
membeli barang-barang keperluan dan barang-barang lain. Paling penting,
saya sempat membeli tiga ekor Ikan Patin sangkar dari Temerloh yang dikenali sebagai Bandar Ikan Patin. Emak saya memang mahir dalam
masakan Gulai Tempoyak Ikan Patin. Ia memenuhi cita rasa saya sejak dahulu
lagi.
Waktu Zohor di daerah Lipis telah masuk pada jam 1:28
petang. Kami masih berada di dalam kenderaan dalam perjalanan menuju pulang ke
rumah emak saya di RTP Sungai Ular. Jarak perjalanan dari pekan Kuala Lipis ke
rumah emak saya di RTP Sungai Ular ialah kira-kira 29 kilometer sahaja.
Pekan Kuala Lipis terletak di Pahang Barat. Walaupun RTP
Sungai Ular terletak dalam daerah Lipis tetapi kawasannya terletak di Parlimen
Cameron Highlands (P078) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai (N02). Ini
berdasarkan sempadan kawasan Parlimen dan DUN bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 pada
hari Ahad, 5 Mei 2013 iaitu pilihan raya terkini setakat ini.
Waktu Asar di RTP Sungai Ular telah masuk pada jam 4:50 petang.
Cuaca panas pada petang ini menjangkau kira-kira 31 darjah celsius. Ia akan kembali
sejuk pada waktu malam ini hingga pagi esok.